6. Engkau ingin berjuang, rumah tangga lintang pukang, karenah isteri gagal ditangani
Permasalahan ini sering berlaku khususnya buat aktivis yang menganggap rumah tangga sama seperti medan perjuangan. Ahli keluarga selalu diperlakukan seperti peserta di dalam program. Kedapatan juga sebilangan ahli yang melampau dalam tindakan seperti menghilangkan diri tanpa berita sehingga berminggu-minggu dan berbulan-bulan sehingga menjejaskan hubungan silaturahim kekeluargaan. Bagi yang telah bersuami-isteri, kegagalan si suami dalam menyediakan keperluan asas bagi isteri dan anak-anak menyebabkan rumah tangga keberantakan dan berada di dalam suasana suram. Pesanan buat mahasiswa yang baru berjinak-jinak dengan gerak kerja jamaah, jangan melampau di dalam tindakan sehingga mengabaikan hak keluarga.
Mari kita selusuri kata-kata seorang sahabat bernama Salman kepada Abu Darda yang enggan makan , tidur dan bergaul dengan keluarga demi menunaikan ibadah." Sesungguhnya engkau mempunyai kewajipan terhadap Tuhanmu, dan engkau juga mempunyai kewajipan terhadap dirimu dan engkau juga mempunyai kewajipan terhadap keluargamu. Maka tunaikanlah hak kepada setiap yang berhak."
7. Mahasiswa ingin berjuang, disiplin diri diabai dan diri tidak ditingkatkan
Kegagalan mahasiswa untuk berintima dengan gerakan Islam di luar acapkali terhalang disebabkan kegagalan diri mahasiswa mengawal diri. Pengawalan diri ini juga diulas di dalam kitab Sheikh Fathi Yakan, "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" yang antara lain mengingatkan pilihan yang ada sewaktu susah seringkali dapat ditangani berbanding ketika senang kerana ketika susah, diri sudah tiada pilihan, tetapi apabila senang, kita sering tertewas kerana pilihan-pilihan yang bersimpang-siur. Maka dengan itu, tanpa disiplin yang utuh, ramai mahasiswa terkandas di tengah jalan perjuangan. Itulah sebab mengapa soal disiplin sangat perlu dititikberatkan di dalam setiap gerak kerja di dalam kampus.
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya [Al-Araf 7:201]
8. Mahasiswa ingin berjuang, ilmu berjuang ditinggalkan
Adalah sangat pelik di posisi mahasiswa sebagai golongan terpelajar, tetapi enggan menambahbaik sebanyak mungkin ilmu yang dimiliki. Sikap 'cukup apa yang ada' yang diamalkan sangat-sangat memakan diri di kemudian hari. Perkara ini telah banyak diperhati dan diteliti oleh penulis. Persoalan yang ingin dilontarkan, sejauhmana ilmu yang secebis itu hendak dibawa sekiranya ilmu yang ada pun sekadar untuk menjawab peperiksaan; itu pun di saat-saat akhir?
PENUTUP
Mengakhiri kalam, penulis masih bingung memikirkan situasi aktivis mahasiswa khususnya yang telah berniat untuk berintima sebagai gerakan mahasiswa Islam, tetapi masih banyak lompong-lompong yang 'sengaja' dibiarkan. Biar apa pun alasan, bagi penulis perihal ini adalah serius justeru memerlukan perhatian yang serius untuk diselesaikan. Wacana, seminar-seminar dan majlis-majlis sumbangsaran perlu dibanyakkan di kalangan ahli jamaah kampus seandainya niat yang murni untuk membantu gerakan dakwah Islam ingin kekal berjalan. Seandainya ini tidak dibetulkan, pesanan ikhlas penulis, LUPAKAN NIAT ANDA!

0 comments:
Post a Comment