Tahukah anda siapa anak muda, remaja, belia atau pemuda ? Robert Havighurst juga turut menghuraikan maksud remaja. Huraian beliau menarik kerana pandangan yang diberikannya bersifat elektif iaitu pandangan campuran yang meliputi biologi, sosiologi dan psikologi. Pandangan dan teori ini dikenali sebagai teori ‘tugas perkembangan’ (Developmental Task, Havighurst, 1972). Beliau menyatakan tahap remaja adalah tempoh individu menjalani beberapa tugas perkembangan.
Menurut beliau, tugas perkembangan ini perlu bagi individu dan didorong oleh masyarakat. Tugas perkembangan ini adalah keterampilan ataupun kebolehan, pengetahuan, fungsi, dan sikap yang individu perlu ada pada sesetengah tahap hidup mereka. Semua ini dicapai melalui kematangan fizikal, harapan sosial dan usaha belia itu sendiri. (Havighurst, 1972)
Apa pun, umum mengetahui anak muda, belia dan pemuda; sering dikenali sebagai golongan yang bersemangat dan bersikap pendesak terhadap sesuatu perkara. Sikap ini amat berlawanan dengan kebiasaan kaum dewasa yang lebih berusia dari segi tingkah laku mahupun tindak-tanduk yang diambil, biarpun ketika muda individu tersebut juga merupakan seorang yang lantang dan bersemangat tinggi.
Ada yang mengatakan ini adalah atas faktor persekitaran dan pekerjaan serta komitmen yang dimiliki individu orang dewasa tersebut. Apa yang pasti, memetik kata-kata seorang ahli motivasi; pemuda bijak berada di tengah-tengah semangat anak muda dan hikmah si dewasa.
Peranan Anak Muda
Meneliti kembali peranan anak muda kontemporari, agak ralat apabila anak muda semakin 'lembut' dalam melontarkan idea dan sumbangsaran berbanding 'suara' mereka yang kuat di jalanan. Sehinggakan beberapa tokoh aktivis anak muda juga sudah dicop dengan beberapa panggilan yang menunjukkan mereka ini 'jaguh' di demonstrasi jalanan; yang juga dibanggai empunya tuan badan. Tetapi memetik kembali intipati sembang-sembang penulis dengan seorang tokoh aktivis mahasiswa era 60-an, beliau juga melahirkan rasa gundah apabila dilihat anak muda khususnya di kalangan mahasiswa lebih gemar menggunakan medan demonstrasi sebagai penyelesaian utama sedangkan masih ada ruang-ruang diplomatik dan perbincangan di celah-celah kesulitan tersebut.
Sekadar merujuk kepada beberapa tindakan demonstrasi yang bersifat saraf dan mendesak pihak penguasa, tokoh aktivis mahasiswa era 60-an lebih memandang langkah yang diambil pimpinanan mahasiswa hari ini lebih kepada langkah populis, tetapi tidak mampu memberi penyelesaian. Justeru apa yang dicadangkan tokoh era 60-an tersebut adalah mahasiswa merenung kembali peranan yang perlu dilakukan sebelum melakukan sesuatu tindakan, bukannya baru hendak melakukan 'post-mortem' sesudah selesai tindakan diambil. Pendek kata, fikir dulu baru bertindak. Barulah ia ciri-ciri mahasiswa yang memainkan peranan 'mahasiswa' sebenar.
Anak Muda Pencetus Perubahan Dasar Negara
Anak muda, menurut tokoh terbabit menerangkan semasa di zaman beliau, mahasiswa dan anak muda gemar berkumpul untuk mengeluarkan idea dan sumbangsaran yang bermatlamat untuk negara ketika itu. Demonstrasi-demonstrasi yang dilakukan juga sebenarnya adalah langkah-langkah yang terakhir sekiranya melihat isu atau masalah tersebut dipandang enteng oleh masyarakat umum.
Anak muda khususnya mahasiswa universiti ketika era 60 dan 70-an ketika itu gemar melihat diri mereka sebagai pemimpin 'kecil' negara ketika itu. Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan akan diteliti dan dikaji untuk dipastikan sama ada dasar tersebut menguntungkan atau merugikan rakyat negara. Sekiranya ia merugikan, beberapa cadangan langkah penambahbaikan diusulkan kepada pihak kerajaan melalui utusan surat ke akhbar-akhbar arus perdana. Dan sekiranya ia menguntungkan, pimpinan kumpulan aktivis mahasiswa itu sendiri mengutuskan ucapan tahniah kepada pihak kerajaan di samping turut mengusulkan beberapa cadangan lain yang disifatkan perlu.
Justeru itu, tokoh aktivis yang kini berusia hampir 70-an ini lebih melihat aktivis mahasiswa dan anak muda perlu kembali kepada status quo sebagai pemikir dan penggubal dasar sekiranya diberikan peluang.
Anak Muda Jangan Malas!
Pesanan ringkas beliau juga mengingatkan anak muda jangan malas berfikir dan berasa cukup dengan apa yang ada. Menurut beliau, akibat sikap 'cukup dengan apa yang ada' menyebabkan gerakan anak muda selepas itu pada era 80 dan 90-an mulai kendur dan mulai gemar melakukan perkara-perkara yang disifatkan 'kurang penting' seperti menuntut biasiswa terus diberi dan juga isu PTPTN ditukar kepada biasiswa, kerana bagi beliau, itu adalah urusan kerajaan. Apa yang boleh dilakukan oleh golongan muda adalah terus memberi alternatif kepada pihak kerajaan di samping mengadakan kajian-kajian yang berilmiah berkenaan kehidupan rakyat negara sekiranya aktivis gerakan mahasiswa dan belia benar-benar serius ingin menawarkan pilihan (option) yang pelbagai kepada rakyat negara.
Anak muda juga disarankan mengelakkan untuk terbabit dengan perkara-perkara pokok seperti pengisytiharan fatwa untuk mengelakkan masyarakat lebih terkeliru. Apa yang boleh dilakukan anak muda adalah menjadi pemikir dan pengkaji terhadap sesuatu isu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan sebagai penerangan kepada masyarakat umum. Ini kerana masyarakat umum lazimnya kurang jelas dengan perkara-perkara yang dibawa oleh pihak kerajaan. Justeru, peranan yang boleh dimainkan oleh anak muda khususnya mahasiswa adalah memudahkan (simplify) penjelasan seringkas dan sepadat mungkin untuk lebih difahami.
Isu-isu subsidi, masalah pengangguran, soal pinjaman & biasiswa serta lain-lain yang berkenaan dan dekat dengan masyarakat juga perlu diberi keutamaan untuk dibincangkan di peringkat pimpinan gerakan belia dan mahasiswa. Kata yang sepakat oleh dilakukan oleh pemimpin tertinggi di peringkat organisasi gerakan mahasiswa juga perlu demi memudahkan susunatur gerakerja sama ada untuk menyokong atau menolak sesuatu dasar yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Kerjasama di antara aktivis mahasiswa di IPT-IPT tempatan sama ada awam mahupun swasta juga sangat-sangat dituntut demi memastikan suara mahasiswa yang dibawa adalah seia dan sekata.
Apa yang penting, menurut pandangan tokoh mahasiswa tersebut, mahasiswa hari ini perlu merubah sikap daripada gemar bertindak sebelum berfikir untuk lebih profesional dan matang berfikir sebelum mengambil apa-apa tindakan. Bak kata-kata popular rakan-rakan aktivis mahasiswa di Universiti tempatan; "kekalkan sifat kemahasiswaan anda!" maka dengan kata-kata tersebut, masyarakat menuntut untuk anda bertindak sebagai pemikir untuk menyediakan diri menjadi penggubal dasar-dasar negara suatu hari nanti.
SUMBER :
1. http://belia-malaysia.blogspot.com/2007/07/definisi-belia.html


0 comments:
Post a Comment