Mahasiswa & Media Massa



Menjengah Definisi 'Media'
Marshall McLuhan di dalam buku beliau, "Understanding Media: The Extensive of Man" ada menyebut "media massa merupakan suatu medium yang dapat memanjangkan pancaindera kita". Melalui media massa kita dalam memperoleh maklumat tentang sesuatu benda, seseorang individu atau tempat biarpun kita belum pernah lihat atau kunjungi secara langsung.

L. John Martin pula berpendapat bahawa media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden. Media haruslah menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii).

Berdasarkan definisi asas media ini, kita dapat lihat hari ini sebagai contoh, media televisyen memilih sesetengah tokoh untuk ditampilkan dan menenggelamkan tokoh-tokoh yang lain. Surat khabar pula sesetengah berita yang boleh mendatangkan minat untuk orang membacanya dan menenggelamkan sesetengah berita yang kurang popular dan digemari orang ramai untuk membacanya meskipun berita itu amat penting.

Media massa kini melalui perkembangan secara berperingkat. Perkembangan yang paling ketara dapat dilihat dalam media elektronik apabila adanya anjakan perubahan iaitu dapat dilihat selepas Perang Dunia Kedua sehinggalah kini (Ray Eldon Hiebert, 1995 : 7). Media massa dapat diklasifikasikankepada dua kategori iaitu media cetak dan media elektronik. Media cetak terdiri daripada sumber bertulis seperti surat khabar, majalah, buku, novel, dan bahan bertaip yang lain. Manakala media elektronik pula terdiri daripada televisyen, radio, internet, blog, telefon bimbit, dan sebagainya. Perkembangan teknologi telah meningkatkan saiz, kepantasan,, dan kecekapan media tradisional serta melahirkan bentuk- bentuk media baru khususnya yang bersifat digital dan elektronik (Md Sidin Ahmad Ishak, 2006 :8). Kini televisyen telah menjadi satu medium komunikasi yang paling berpengaruh (Vir Bala Aggarwal, 2002 : xvii).Teknologi baru dalam bidang penyebaran maklumat telah meningkatkan kuasa dan fungsi media massa (Md Sidin Ahmad Ishak, 2006 : 8).

Media Massa & Mahasiswa
Orientasi perjuangan mahasiswa pada satu-satu masa berkait erat dengan ideologi dominan ketika itu. .Pada era 60-an da 70-an kelompok aliran sosiolis dan nasionalis paling menonjol.Orientasi perjuangan mahasiswa pada ketika itu tertumpu kepada isu-isu rakyat marhein yang tertindas, soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, soal kepimpinan Tunku yang dipertikaikan serta beberapa isu yang berkaitan dengan ideologi yang mereka dokong.

Antara lewat 70-an dan 80-an, ideologi gerakan mahasiswa yang dilihat bertunjangkan Islam mula mengambil tempat.Persatuan mahasiswa Islam seperti PKPIM dan PMIUM menonjol dalam mengetengahkan idea ‘Faham Islam’ dalam mengubah masyarakat ke arah mempraktikkan Islam yang lebih sempurna.

Tidak dinafikan bahawa demonstrasi dan Speaker Corner adalah nadi utama perjuangan mahasiswa pada era 60-an hingga awal 90-an.Mahasiswa semasa itu, ketika sebelum mereka berdemonstrasi di sesuatu tempat, mereka menggunakan Speaker Corner di kampus untuk menjelaskan isu itu kepada masyarakat kampus sekaligus menuntut simpati agar mahasiswa yang menyokong perjuangan mereka akan bertambah. Ini sedikit sebanyak berjaya menarik lebih ramai untuk turun bersama-sama dalam satu-satu perhimpunan. 

Penulis bersetuju jika kaedah demonstrasi dan 'Speaker Corner' ingin terus digunakan, namun penulis melihat kaedah tersebut agak usang dan sudah tidak mampu membawa impak yang besar maka ia perlu dijadikan kaedah yang minor. Kita wajar memikirkan secara serius kaedah mekanisme menyuarakan perjuangan kita mengikut arus semasa mahasiswa kini. Kaedah baru yang dicadang perlu kurang menuntut masa dan tenaga yang banyak tetapi impak dan kesannya kuat dan mampu mencipta perubahan besar kepada masyarakat. Antara kaedah yang acap kali disebut tetapi masih boleh diperkasakan adalah penguasaan media yang serius.

Penguasaan media yang serius.
Sekadar contoh, mengkaji semula sejarah kewujudan portal Malaysiakini yang dibina pada tanggal 20 November 1999, kini menjadi antara laman web alternatif yang tertua di Malaysia selepas beberapa laman-laman web seperti Anwar Online, Laman Reformasi, Mahazalim, Mahafiraun, Laman Marhaean kini sudah ditutup.

Penguasaan mandatori Dr M ketika itu terhadap media arus perdana telah menyebabkan rakyat dahagakan sumber maklumat alternatif, tambahan pula media arus perdana seringkali "menggelapkan" berita-berita mengenai penentangan terhadap kerajaan ketika itu. Ketika itu, akhbar parti lawan seperti Harakah dan akhbar independen seperti Eksklusif telah memainkan peranan besar yang mendorong perubahan trend pengundian rakyat untuk menyokong BA. Apa yang menarik, selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kabinet Dr M, internet memainkan peranan terpenting dan menjadi medan untuk melawan propaganda pemerintah yang didukung oleh media arus perdana.

Masalah Media & Mahasiswa Kini
Ironinya penulis melihat mahasiswa IPT kini masih jauh untuk mendekati kepada cita-cita untuk mendominasi pemikiran rakan-rakan sebaya, apatah lagi masyarakat luar. Ini ada benarnya kerana kita dapat saksikan rata-rata pemimpin mahasiswa di awalnya sibuk membina blog, laman web, facebook, twitter dan sebagainya sehingga berlambak-lambak di alam siber untuk berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya; kononnya sebagai langkah mendekati golongan sasaran. Mungkin ada yang berkata, itu satu petanda baik bahawa mereka mengorak langkah sendiri untuk memenangi hati rakan-rakan.

Cuma setelah beberapa ketika, kelihatan situasi kurang menyenangkan apabila ramai daripada pemilik blog, laman web atau facebook itu kesudahannya malas untuk mengemaskini laman blog, laman web, facebook dan twitter masing-masing sehingga perlu ada pihak ketiga untuk melakukannya bagi pihak mereka.

Pemimpin mahasiswa juga kelihatan hanya 'syok sendiri' untuk mempromosikan diri sendiri tanpa ada komunikasi dua hala selain gagal memahami aspirasi rakan sebaya, apatah lagi masyarakat di luar sana. Mereka juga gagal dalam mengulas sesuatu idea tentang isu-isu semasa mengakibatkan blog atau facebook yang ada sekadar 'cut-and-paste' semata-mata. Sehingga status di 'facebook' sekadar di'forward' daripada kenalan apabila timbul isu-isu semasa yang mengakibatkan para pemimpin mahasiswa kelihatan 'lesu' daripada berbicara isu-isu terkini.

Saranan
Seharusnya ruang dan kemudahan teknologi masa kini digunapakai semaksimum mungkin untuk menarik perhatian rakan-rakan dan orang ramai. Bagi penulis secara peribadi melihat isu ini agak kritikal dan memerlukan suatu suntikan dan anjakan sikap. Justeru itu, penulis bertindak memulakan isi artikel blog ini sebagai salah satu kaedah alternatif membantu para pemimpin mahasiswa membina kembali pengaruh melalui penggunaan media massa yang bijak.



SUMBER :
1. http://majalahummatie.wordpress.com/2009/11/23/peranan-media-dalam-aktivitas-propaganda/
2. http://www.scribd.com/doc/18763750/Media-Massa
3. http://hasbiemuda.wordpress.com/2009/05/31/memperkasa-media-mahasiswa-malaysia/
4. http://m.malaysiakini.com/columns/119181

0 comments:

Post a Comment