CERPEN : Sumpah mahasiswa


Sekadar gambar hiasan
BABAK 1

Datuk Rahim meletakkan Utusan Harian ke atas meja antik tersebut. Hatinya gundah, sedikit terkilan. Puas dinasihat, tapi anak buahnya itu enggan mendengar kata.

'Apa lagi harus aku lakukan?' Getus hati tuanya.

Haa, ada satu lagi caranya !

Telefon berjenama terkenal miliknya segera dicapai. Ada seseorang penting yang ingin dipanggilnya. Ingin dirundingi, ingin dinegosiasi.

"Mah, abang ni. Sibuk ke?"



BABAK 2

"Ibu tak nak kau masuk lagi benda-benda tak berfaedah tu lagi! Pak Lang kau telefon semalam, mengadu kau buat macam-macam, hasut habis budak kampung ni, 'join' demo kau tu! "

"Tapi bu..." bela diri Saiful. 'Ini sudah melampau, Pak Lang sudah jalankan politiknya!' Hatinya bermonolog.

"Tak ada tapi-tapi lagi! Ibu cakap sudah, sudah! No more demonstration. Full stop! " Puan Halimah memberi kata putus. Tindak-tanduk anaknya perlu dipangkas segera; jika tidak kelak akan menjejaskan peluangnya bertanding perwakilan wanita penghujung tahun ini.

"Angah 'just' cakap yang benar je bu. Takkan itu pun salah?" Sekali lagi Saiful cuba membela tindakannya.

"Pak Lang tu yang paranoid lebih. Tak ada sesiapa yang buat kacau pun, bu. Kitaorang 'just sit' depan pejabat yayasan je," Saiful merujuk tindakan dia dan rakan-rakannya yang melakukan berpiket di hadapan pejabat Yayasan Pengajian Tinggi Negeri sejak seminggu lalu. Tujuan mereka hanya satu, untuk masyarakat sedar akan kebobrokan penyelewangan dana yayasan semenjak dipegang oleh seorang bekas Exco negeri; yang kalah dalam pilihanraya tahun 2008.

"Dah tu, yang Pak Ngah cakap siap berkhemah-khemah di depan yayasan tu apa?" soal Puan Halimah kembali. Menyinga sahaja bunyinya lantaran rasa dimain-mainkan.

Saiful terpaku, Pak Langnya benar-benar mahu 'berperang' dengan mereka. Habis diceritakan semua perkara yang dilakukan mereka kepada ibu. Bagai dituang minyak ke dalam api.

"Tak ada apa la ibu. Itu kitaorang lepak-lepak. Takkan kitaorang nak berdiri sepanjang masa depan yayasan tu ? Penat nanti, kitaorang tukar-tukar la 'shift' " betah Saiful. Terasa terlanjur bercakap pula dia; membuka ruang strategi dirancang kepada ibunya.

"Oh, tahu pula korang penat yer. Sudah-sudah, ibu tak nak kau 'join' lagi benda-benda gitu. Cuti-cuti ni, baik kau tolong ibu di rumah ini. Buat kerja rumah tu. Cat rumah ke, buat reban ayam lain ke. Rumah ni nanti nak kenduri Along kau. Kakak kau tu perempuan, kenduri mesti besar-besar. Sudah, ibu tak nak dengar dah apa alasan kau. Cuti U kau sebulan tu, kau jangan pergi mana-mana, duduk rumah.Ibu tak nak kau join demo tu lagi, then kau kemas rumah ni.." panjang leteran ibunya. Enggan memanjangkan lagi wacana, Saiful perlahan-lahan mengangkat kaki. Bukan mengingkari, tapi sebagai taktik menghadapi 'musuh dalaman.'

'Kena ubah strategi' fikir mindanya. Saiful sedar, rakan-rakan kampungnya hanya mengharapkan dirinya. Yang hak tetap hak! Yang batil tetap batil! Kebobrokan harus dibanteras ! Itu pegangan diri anak muda yang menginjak masuk umur 20-an ini.


BABAK 3

"Teman-teman mahasiswa-mahasiswi kalian jangan takut. Pantang anak muda hari ini dicabar! Akan kita bongkar habis-habisan skandal ini! " berdegar-degar suara jantan YB Alex Tan.

Terasa bagai dicucuk-cucuk dengan panji peperangan menentang penjajah 60 tahun lalu. Dulu bangsa mereka berpisah-pisah; Cina di bandar, India di ladang dan Melayu di kampung-kampung. Polisi yang berjaya memisah dan melewatkan mereka bangkit melawan penguasa asing sebelum mencapai kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957.

"Macam mana Pul, orang kita sikit ni. YB ada merungut tadi, katanya kita tak berjaya tarik 'crowd' lagi ni. Campur kau dengan aku, tak sampai 20 orang lagi ni," Izhar bak memberi laporan kepada 'ketuanya' Saiful.

Saiful duduk. Sengaja diambil sela masa, buat berfikir mencari idea baru. Isunya besar, penyelewangan dana yayasan. Tapi masih enggan diambil pusing ahli masyarakat.

"Kau sudah edarkan 'flyer' yang aku suruh siang tadi?" soal Saiful kepada Izhar. Izhar mengangguk lemah,kehabisan kudrat.

"Crowd yang ada bukan semua faham objektif kita ni. Aku suruh diaorang edarkan tadi ke rumah-rumah pun diaorang tak nak, tak berani. Kau tak ada tadi, susah lah. Tu Ros dengan Jun, dah nak cabut. Diaorang kata mak ayah diaorang dah cari," lanjut Izhar lagi.

Saiful bergegas bangun, seraya berkata, " Kau kumpulkan semua yang ada selepas 'speech' YB Alex ni. Aku nak bagi pengumuman." Lantas Saiful menuju ke arah Jun, buah hatinya. Izhar termanggu-manggu. 'Nak batalkan ke?' soalan bermain-main di hatinya.

"Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera," Saiful membuka bicara, sela menghadap seramai 15 orang 'aktivis muda'. Berbasa-basi, mengambil mood hadirin.

"Rakan-rakan sekalian. Sudah masuk hari ke-7 kita di sini. Dan sudah 7 hari kita bertukar-tukar, berpiket. Semuanya untuk menzahirkan bantahan kita ke atas penyelewangan Yayasan Pengajian Tinggi Negeri.

"Mungkin masih ada yang kurang faham, kenapa kita tidak berdiplomasi; berjumpa dengan pihak sewajarnya. Jawapannya, kita sudah lakukannya! Tetapi apa hasilnya ? Dibakulsampahkan memorandum kita. Digula-gulai kita dengan janji-janji palsu. Maka sewajarnya kita semua anak-anak muda, bangkit menyelamatkan Yayasan ini daripada tangan-tangan keji yang menguasainya," berdegar-degar suara Saiful melalui corong 'hailer'. Hadirin yang awalnya sebam, kembali bersemangat mendengar kata-kata semangat daripada ketua mereka.

Dari jauh sebenarnya Datuk Rahim memerhatikan anak saudaranya itu berucap. Memang ada lagak dia ketika muda-muda dahulu. Ketika memimpin persatuan mahasiswa di universiti lewat tahun 70-an. Tetapi kini dia sudah tua. Tua dari segi idealisme. Tua dari segi semangat. Tetapi muda dari segi fizikal. Nah, kalau tidak masakan mampu dia menikahi seorang lagi dara sunti sebaya anaknya bulan lalu di negara seberang.

Tetapi pernikahannya itu masih dirahsiai; takut dimodalkan oleh parti pembangkang. Namun bukan itu ditakutinya.

Yang ditakutinya sekarang adalah anak muda yang berada di hadapannya kini. Anak muda yang menentang skandal dalaman yayasan, yang dipegang rakan baiknya, Dato' Sahizan. Dato' Sahizan yang tewas dalam pilihanraya 2008 lalu, diamanahkan memegang Yayasan oleh kerajaan persekutuan, atas cadangan Datuk Rahim sendiri.

Selaku Timbalan Menteri Pendidikan, pantas sahaja syor beliau diterima oleh kabinet. Sebabnya mudah, Dato' Sahizan bekas Exco yang memegang portfolio hal ehwal pelajaran sebelum ini. Tetapi malangnya dalam pilihanraya 2008 lalu, kerajaan negeri dikuasai parti pembangkang. Parti pembangkang dinamai sebagai kerajaan yang sah. Dan mereka dalam komponen parti Warisan pula bergelar pembangkang kini.

Apa pun, Datuk Rahim tidak melupai jasa baik Dato' Sahizan selama ini. Jatuh bangun mereka bersama, semenjak di awal kemasukannya ke dalam parti, Dato' Sahizan yang membawanya. Menjadi mentor, juga merangkap rakan seperniagaan import-eksport kayu balak ke luar negara. 'Bisnes tipikal orang politik' bak kata mentornya itu.

Dan sekarang, Dato' Sahizan menghadapi masalah. Masalah kebocoran maklumat duit dana yang entah bagaimana jatuh ke tangan anak muda yang berada di hadapan Datuk Rahim sekarang ini. Itu satu hal. Maka Datuk Rahim, demi membalas jasa baik mentornya itu, dipanggil menyelesaikan masalah piket anak-anak muda itu yang kini menginjak masuk minggu kedua di hadapan pejabat yayasan.

Dipanggil pihak Majlis Perbandaran, mereka berkata itu di luar kuasa mereka. Dipanggil pula pihak polis, polis berkata mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan kumpulan itu melakukan kekacauan. Ini, menurut mereka tiada menyalahi mana-mana perundangan Malaysia hatta dunia sekalipun. Malahan kumpulan tersebut menawarkan khidmat percuma, membersihkan sekitar kawasan lapang tempat mereka berkhemah, dengan mengutip sampah dan botol-botol kosong. 'Untuk dikitar semula' ujar mereka.

Pening Datuk Rahim. Dengan Dato' Sahizan acap kali memanggilinya, minta tolong diselesaikan segera isu ini. Dan dengan anak buahnya ini pula yang mengetuai piket tersebut, lagi memarahkan keadaan. Jarum hari itu disangkanya sudah berjaya mematahkan hati Saiful, juga adiknya Halimah. Tetapi rupa-rupanya semakin bersemangat pula si Saiful ini.

Aduh pening aku! Terbit hati Datuk Rahim.

BABAK 4

(bersambung)

0 comments:

Post a Comment